Saya bertemu dengan Datuk Mukhriz Mahathir di Parlimen baru-baru ini, ada sesuatu yang telah lama terbuku dalam benak dan fikiran saya, agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera antara saya dengan Mukhriz. Sebagai seorang sahabat baik dan penyokong setia beliau, saya rasa bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa-apa yang sekian lama bermain dalam kotak minda saya. Petang itu, setelah Mukhriz bersetuju meluang masa untuk berjumpa, maka saya bergegas ke Parlimen. Tidak sabar untuk saya mendapatkan kepastian daripada mulut beliau sendiri, setelah tersebar fitnah paling ganas terhadap dirinya di Internet sejak belakangan ini. Kepastian dan kebenaran harus segera saya cara dan temui, jika tidak – saya tidak bisa tidur malam. Hampir dua jam saya berbual tentang pelbagai isu, bermula daripada isu bahasa, hinggalah ke isu politik dan ekonomi, semuanya beliau jawab dengan penuh meyakinkan – tiada ragu-ragu – tiada rasa haru biru – semua dijawab dengan keyakinan dan kejujuran. Itulah Mukhriz yang pernah ditakrifkan oleh abangnya Mokhzani sebagai lelaki yang berperwatakan lembut tetapi tegas dan bernas!
Mengandaikan bahawa beliau sudah tua dan berumur, serta tidak berupaya memimpin dan menjiwai golongan muda – merupakan hujah dangkal bagi kalangan orang-orang yang jahil tentang apa, bagaimana dan siapa sebenarnya yang diinginkan oleh generasi muda dan generasi maya pada hari ini. Mereka yang mendakwa bahawa Mukhriz tidak berupaya dan layak untuk mengemudi Pemuda UMNO Malaysia – merupakan golongan yang hanya layak bercakap dengan tin kosong sahaja, bunyi lebih, isi tiada. Golongan muda mengharapkan seorang pemimpin yang bijak dan bukan bijak bercakap sahaja, tetapi telah membuktikan bahawa mereka tahan diuji baik dalam dunia politik mahupun dunia perniagaan.
Golongan muda lebih cenderung menyokong Mukhriz kerana perwatakan lembut dan tiada banyak kerenah untuk berjumpa – seorang yang dibesarkan di Malaysia dan bukan di luar negara. Mukhriz, nama seorang yang berprinsip dan berani menegur perkara yang tidak benar – inilah konsep pemuda yang kita mahu!
Tatkala beliau diketepikan sewaktu Tun Mahathir menerajui negara – beliau membina perniagaannya sendiri, pernah jatuh dan bangkit dalam perniagaan seperti abangnya juga Mokzani – Malah Mukhriz pernah gagal dalam mengusahakan sebuah syarikat penerbitan, apabila majalah Spektra terbitan syarikat beliau terpaksa diberhentikan penerbitannya kerana faktor kos dan tiada sambutan. Semua ini mengajar beliau menjadi lebih dewasa sebagai seorang pemuda dan peniaga.
Banyak yang kita tidak tahu tentang Mukhriz – tetapi buat-buat tahu dan cuba menilai dengan penilaian yang tidak tepat, gara-gara beliau anak kepada Tun Mahathir. Kebodohan dan kejahilan kita adalah apabila kita, melakukan sesuatu penilaian berasaskan emosi dan bukan realiti, lantaran kita tiada fakta dan carta untuk membuat pilihan yang mana baik dan yang mana buruk. Oleh sebab itu, apabila kita disogokkan dengan kempen “wahai kawan-kawan marilah pilih calon berkelulusan Oxford ini, bijak dan pandai berdebat – harapan rakyat dan harapan semua.” Lalu kita terlopong, menonton wayang gambar bertajuk “Si Khairy yang Perkasa”, kita bertepuk – pembangkang seronok. Seronok kerana apa? Seronok kerana, jika inilah pemuda pilihan UMNO, pembangkang tidak perlu bersusah payah untuk mencapai kemenangan besar dalam PRU ke-13 kelak. Namanya sahaja sudah cukup membuat para remaja dan generasi muda, mengundi Nurul Izzah si puteri reformasi.
Khairy, pemuda yang dibenci dan adalah sukar untuk disayangi – itulah Si Khairy nama yang menjadi liabiliti dan dicaci. Tidak cukupkah semua ini?. Lantaran itu, kita memerlukan seorang pemuda UMNO yang mampu mencantumkan harapan seluruh rakyat Malaysia, baik Cina, Melayu dan India – semua akan menghormatinya. Insan tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Mukhriz. Semua bangsa mengetahui siapakah ayah beliau, dan berharap agar kebijaksanaan Tun Mahathir tumpah kepadanya. Malah, Mukhrizlah satu-satunya jasad yang hidup bagi membuktikan dasar pandangan ke Timur yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir pada suatu ketika dahulu bukanlah satu dasar yang dibuat dengan suka-suka. Tetapi, dibuktikan dengan menghantar anaknya terlebih dahulu ke Jepun untuk mengambil jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sophia, Tokyo.
Selama lima tahun beliau di sana, menjadikan Mukhriz mampu menguasai bahasa Jepun dengan sangat baik, malah hubungannya dengan pemimpin dan tokoh-tokoh korporat di negara matahari terbit itu pun sangat rapat dan harmoni. Inilah pemuda harapan bangsa – dalam dunia yang tiada sempadan ini kita memerlukan seorang pemimpin yang tidak hanya mahir dalam berbahasa Inggeris semata-mata, sebaliknya kita mengharap pemimpin muda yang menguasai dua atau tiga bahasa, sesuai dengan senario sekarang, malangnya Khairy Jamaluddin tiada semua itu. Jika kita sudah ketemu dengan yang lebih baik daripada KJ, mengapa tidak kita tinggalkan sahaja saudara KJ, kerana sebenarnya beliau tidak memahami jiwa generasi muda – generasi muda kini bukan boleh disogok dengan main bola sahaja, golongan ini semakin bijak, kami memerlukan pemuda yang berani bercakap benar dan tidak takut kepada kuasa barat dan telunjuknya. Dalam hal ini, Mukhriz adalah pilihan terbaik!
Kita juga memerlukan seorang pemimpin pemuda UMNO yang hidup dan membesar di tanah airnya sendiri, bersekolah dan mengetahui adat resam serta agamanya dengan baik. Dalam soal ini, Mukhriz jelas berada di hadapan. Bersekolah di MRSM Kota Bharu (Sekarang MRSM Pengkalan Chepa) selama lima tahun – menjadikan beliau seorang remaja yang didik dalam budaya Melayu dan Islam dengan baik. Menurut beliau, “Saya dibesarkan dalam suasana masyarakat Kelantan yang teguh kepada ajaran Islam serta budaya Melayu. Saya hidup selama lima tahun di negeri tersebut, sehingga sekarang saya masih fasih bercakap dalam dialek Kelantan, kerana saya mempunyai ramai kawan di sana. Dan ini menyebabkan saya berasa bertuah dan tidak meninggalkan cara hidup Islam dan orang Melayu.”
Berbalik kepada isu asal yang ingin saya dapatkan jawapannya secara terus daripada Datuk Mukhriz, maka saya paparkan di bawah transkripsi penting yang saya peroleh setelah mewawancara beliau.
Dakwaan mengatakan bahawa UMNO sudah tiada lagi ahli-ahli yang jujur benarkah dakwaan tersebut?
Tidak benar, inilah masalahnya, hanya segelintir yang membuat perkara yang tidak baik, seperti politik wang, maka seluruh ahli UMNO dituduh mengamalkannya. Saya mengambil contoh AS, yang pada kita merupakan sebuah negara yang penuh dengan kejahatan dan keburukan, namun demikian rakyatnya masih berhasrat memilih presiden mereka yang baik dan mempunyai imej yang bersih. Setakat ini Obama mempunyai ciri-ciri tersebut. Saya juga mengharapkan bahawa, ahli-ahli UMNO akan memilih calon Ketua Pemuda UMNO yang ikhlas dan bebas daripada politik wang. Yang berlaku pada hari ini sudah ramai ahli UMNO yang insaf bahawa politik wang hanya menghancurkan masa hadapan UMNO. Sekarang ini, saya dapati calon-calon yang mengamalkan politik wang juga sudah berasa tidak selamat, kerana belum tentu para penerima sogokan wang daripada calon-calon tersebut, akhirnya akan mengundi mereka di persidangan. Hal ini adalah kerana, wakil-wakil pemuda UMNO sudah bijak memilih pemimpin yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan mereka. Mungkin duit yang diberi akan mereka terima, tetapi belum tentu mampu membeli undi. Saya percaya ramai ahli UMNO yang mahukan pemimpin bersih.
Saya terkejut dengan fitnah ini kepada saya, seolah-olah ada pihak cuba mengalihkan “penyakit” ini kepada saya pula, sedangkan semua orang tahu bahawa saya tewas bertanding sebagai Ketua Pemuda Kubang Pasu, tetapi saya bangga, walaupun saya kalah, saya kalah cara terhormat. Malah, kawan-kawan saya pun tidak terlalu kecewa, kerana mereka tahu saya tidak mengamalkan politik wang. Saya ingin membuktikan bahawa, kita juga mampu naik ke puncak dan disokong oleh akar umbi jika kita jujur dan tidak mengamalkan politik wang. Buktinya, selepas itu saya menang AJK UMNO Bahagian Kupang Pasu dan EXCO pemuda UMNO Malaysia – tanpa menggunakan duit. Ini menunjukkan satu harapan bahawa, masih ramai dalam kalangan pemuda UMNO masih ada yang baik dan harapan untuk membersihkan politik wang dalam Pemuda UMNO masih ada dan cerah.
Apakah Datuk sanggup bersumpah jika ada pihak mahu Datuk lakukannya demi membuktikan Datuk benar-benar bersih daripada politik wang?
Dah tentu saya sanggup dan saya mesti akan buat! Sebab saya tahu, saya tidak mengamalkan politik wang! Tetapi, pada hari ini apa yang hendak dilihat oleh akar umbi ialah tindakkan dan bukan lagi amaran atau teguran semata-mata. Orang ramai nak melihat tangkapan dibuat kepada para pelaku politik wang dan bukan amaran lagi. Ada orang cakap bahawa, terdapat seorang pemimpin pemuda UMNO yang begitu beria-ria mahu menghapuskan politik wang dalam sebuah wawancaranya di televisyen, namun demikian semua orang tahu, bahawa orang tersebut turut mengamalkannya. Saya selalu memikirkan berkenaan UMNO, diri saya tidak penting, yang penting ialah UMNO, UMNO mesti diselamatkan daripada politik wang. Jika tidak, UMNO akan hancur. Saya sebenarnya mewakili suara ahli UMNO yang inginkan kebenaran dan kejujuran dalam memperjuangakan hak orang Melayu dan mahu melihat UMNO kembali kuat. Saya akan bercakap perkara yang benar – walaupun orang tidak suka. Tetapi saya terpaksa bercakap benar.
