KUALA LUMPUR 30 Julai - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan menulis surat kepada Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan bagi mengadakan pertemuan empat mata berhubung cadangan wacana ilmiah antara kedua-dua pihak. Khairy berkata, pertemuan itu amat penting bagi mengetahui matlamat sebenar wacana itu terus dari isi hati Nasrudin tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Beliau tidak mahu cadangan wacana itu dikelirukan oleh mana-mana pihak termasuk dalam Dewan Pemuda Pas sendiri melalui perbincangan dalam media atau menerusi mana-mana wakil.
"Pada bulan lepas kita telah menghantar surat rasmi kepada Nasrudin untuk bertemu antara ketua dan ketua, tetapi sebaliknya ia telah dibalas oleh Setiausaha Dewan Pemuda Pas.
"Surat itu mahukan saya berurusan dengan jawatankuasa teknikal wacana yang bercanggah dengan persetujuan asal iaitu ia perlu dibincangkan terlebih dahulu antara kedua-dua pihak (pelantikan jawatankuasa) sebelum cadangan wacana diteruskan," katanya yang akan menulis surat itu esok. Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau diminta mengulas perkembangan terkini jemputan wacana ilmiah Dewan Pemuda Pas kepada Pemuda UMNO yang disampaikan sendiri oleh Nasrudin pada 1 Julai lalu di lobi Parlimen kepada Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim.
Tambahnya, dalam pertemuan itu juga nanti beliau akan menyuarakan pendirian tajuk yang dicadangkan Pas iaitu 'Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan Dengan Islam' kurang sesuai dan akan mencadangkan tajuk yang berkaitan dengan masa depan negara. Katanya, perbincangan mengenai tajuk baru itu lebih relevan berdasarkan kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang yang kelihatan dalam dilema dan terumbang-ambing.
"Kita percaya Pas tidak selesa dengan pakatan pembangkang, buktinya adalah amat jelas iaitu Pas seperti bermain tarik tali," katanya.
Khairy juga ditanya sama ada kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 'yang menjahanamkan UMNO' akan membantutkan usaha wacana antara kedua-dua sayap itu. Beliau berkata: "Saya percaya ada di kalangan ahli Pas sendiri yang tidak bersetuju dengan kenyataan Nik Abdul Aziz itu terutama Nasrudin, sebabnya kalau tidak pasti dia tidak akan menulis surat kepada kami."
Ulasan Saya :
Maafkan saya jika saya terpaksa memberi sedikit pandangan berkenaan Khairy Jamaluddin pada kali ini. Bukan niat saya untuk sengaja mengkritik beliau, sebaliknya sebagai ahli Pemuda UMNO saya berhak memberi pandangan berhubung tajuk wacana yang telah dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS iaitu, "Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan dengan Islam". Dalam keadaan UMNO yang lemah ini adalah tidak wajar sama sekali Pemuda UMNO Malaysia mencari tajuk atau judul lain dan menolak tajuk wacana yang telah pun dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS sebelum ini. Hal ini seolah-olah menggambarkan bahawa Pemuda UMNO secara tidak langsung takut untuk mempertahankan kebenaran yang nyata lagi terang, bahawa sesungguhnya perjuangan UMNO sama sekali tidak bertentangan dengan Islam.
Jika Pemuda UMNO dan Khairy yakin bahawa mereka berada di pihak yang benar, maka sambut sahajalah judul wacana tersebut tanpa banyak soal. Lagi pun, judul itu jika kita amati dengan telus, banyak memberi kelebihan kepada UMNO. Jadi, mengapa harus takut? Masalah yang saya lihat ketika ini hanyalah satu, iaitu Khairy merasakan bahawa wakil Pemuda UMNO yang akan berhadapan dengan PAS nanti, bakal kecundang jika isu agama menjadi pertaruhannya. Pemuda UMNO merasakan bahawa judul tersebut banyak memberi manfaat serta kelebihan kepada PAS untuk menang, dan silap haribulan, Pemuda UMNO akan dimalukan begitu sahaja. Malah, tidak mustahil selepas itu, Exco-exco Pemuda UMNO Malaysia akan dituduh sebagai individu yang cetek pengetahuan agamanya. Oleh sebeb itu, Khairy mahu judul wacana tersebut dipinda dengan alasan bahawa ia tidak sesuai. Namun demikian, alasan tersebut tidak kukuh, malah Pemuda UMNO akan dianggap sebagai penakut dan jahil berkenaan hal-ehwal agama. Kita tidak mahu PAS menuduh Pemuda UMNO tidak tahu agama atau cetek ilmu agama, sebab itu kita harus menyahut cabaran tersebut. Jika khairy tidak berupaya, maka wakilkan sahaja orang lain. Susah sangat ke? Pada saya Pemuda UMNO akan dituduh pengecut jika masih berdegil dengan mencadangkan judul selain daripada judul yang telah dicadangkan oleh Dewan Pemuda PAS sebelum ini.
Saya juga agak kecewa, Khairy seharusnya arif akan hal-ehwal agama serta mahir berkenaan hujah-hujah agama, barulah beliau mampu berhadapan dengan PAS. Jika kita masih terus cuba mengelak untuk bercakap soal "Perjuangan UMNO Tidak Terpesong daripada Islam", maka sampai bila-bila pun Pemuda UMNO akan gagal meyakinkan generasi muda, khususnya yang mula condong kepada PAS.
Kita tahu dan yakin perjuangan UMNO tidak bercanggah dengan Islam, dan kita juga ada hujah-hujahnya, maka mengapa Khairy harus takut dan meminta PAS menukar topik lain? Kita harus ingat, bagi PAS tiada topik lain yang jauh lebih besar daripada topik yang telah mereka cadangkan itu. Lantaran itu, adalah wajar Pemuda UMNO terima sahaja topik tersebut. Apa masalahnya? Yang saya nampak hanya satu, Pemuda-pemuda UMNO selama ini kurang mentelaah kitab-kitab muktabar agama, maka sebab itu mereka lemah dalam menyampaikan hujah dan mematahkan hujah dengan gaya dan kefahaman orang-orang yang mendalami ilmu agama secara formal.
Untuk menumpaskan hujah-hujah PAS kita tidak boleh berhujah dengan gaya dan cara ahli ekonomi atau pengurusan berfikir dan bertutur, mereka tidak akan menerimanya sama sekali. Untuk mematahkan hujah dan menewaskan dalil-dalil PAS, kita harus mendalami cara dan kaedah para ilmuwan agama berfikir. Mahu atau tidak mahu, kita harus mentalaah kitab-kitab muktabar yang ditulis oleh ulama-ulama silam, khususnya ulama-ulama generasi salaf. Di sana, kita akan banyak menemui hujah-hujah yang berupaya mematahkan hujah-hujah pemimpin PAS yang terpesong itu. Tetapi, malangnya Pemuda-pemuda UMNO tidak suka membaca kitab-kitab karangan ulama besar Islam, sebab itu apabila Dewan Pemuda PAS menawarkan tajuk wacananya"Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan Dengan Islam", kita mula mengelabah dan bimbang akan kecundang.
Secara peribadi, saya malu dengan sikap pengecut Pemuda Malaysia dalam berhadapan dengan Dewan Pemuda PAS. Jika Khairy dan wakil-wakilnya takut dengan tajuk wacana yang dikemukakan oleh Dewan Pemuda PAS , maka eloklah selepas ini letak sahaja jawatan, jika hal sekecil ini pun Pemuda UMNO masih ragu-ragu untuk berhadapan dengan Dewan Pemuda PAS, maka apakah maknanya Khairy menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Apakah yang sebenarnya tuan-tuan perjuangkan? Tanggungjawab Pemuda UMNO adalah menyakinkan generasi muda bahawa perjuangan UMNO adalah selari dengan kehendak Islam, tak kan hal itu pun Pemuda UMNO dan Khairy begitu susah untuk berhadapan dengan PAS? Yang penting kita harus jujur menegakkan kebenaran yang kita yakini. Niat kita harus betul apabila berhujah dan berhadapan dengan PAS. Kemenangan akan menjelma kepada mana-mana pihak yang ikhlas berhujah untuk mencari kebenaran. Dan saya lihat, hal ini ada pada UMNO. Khairy harus segera mengambil peluang ini bagi menjelaskan kepada rakyat bahawa perjuangan UMNO adalah seiring dengan Islam.
Saya, secara peribadi menyahut tajuk wacana yang dikemukan oleh Nasaruddin Tantawi itu dengan hati yang terbuka, jika Pemuda-pemuda UMNO Malaysia gagal untuk menjawab persoalan itu, saya dengan rendah diri sanggup berdebat dengan Nasaruddin (malah dengan seluruh AJK PAS Pusat sekali pun saya sanggup) UMNO pada hakikatnya ada hujah untuk mematahkan hujah-hujah PAS dengan mudah dan tepat. Malangnya, kita takut dengan perkara yang bukan-bukan. Sampai bilakah Pemuda UMNO harus menjadi pengecut? Walaupun saya hanya berjawatan Exco Pemuda UMNO Bahagian, tetapi jawatan tidak penting bagi saya, yang penting kita ikhlas berjuangan dan yakin bahawa kita berada di pihak yang benar. Mana-mana wakil PAS hubungi saya, jika kita ingin melihat wacana ini direalisasikan. Wallahualam.
















